Sunday, January 11, 2015

SOLAT SUBUH SANTAPAN ROHANI

7:34 PM Posted by firassafiq No comments
Ciptaan manusia dilengkapkan dengan jasad, roh dan fikiran. Keseimbangan ketiga-tiga unsur itu digabungkan dalam tamadun Islam sehingga mereka menjadi cemerlang.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian, Dia menyempurnakan ciptaanNya dengan meniupkan di dalam tubuh manusia akan roh lalu dijadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati." (Surah Sajadah, ayat 9)
Berdasarkan sejarah, kita melihat tamadun India hanya menumpukan kepada spiritual semata-mata, tamadun Rom dibina atas kekuatan jasad semata-mata dan tamadun Greek menumpukan kepada falsafah serta pemikiran.
Islam menggabungkan ketiga-tiga kekuatan sebagai pelengkap kepada ciptaan manusia. Namun, Islam meletakkan kekuatan roh mengatasi segala kekuatan lain.
Kekuatan itu menjadikan umat Islam memiliki jati diri tinggi dengan menjaga perintah Allah SWT, mengutamakan rohani berbanding jasmani.
Justeru, Allah SWT mewajibkan umat Islam sujud dua rakaat solat Subuh selepas dikembalikan roh mereka pada waktu pagi sebagai persediaan menghadapi perjalanan hari itu. Inilah kekuatan yang sering dilupakan umat Islam.
Cahaya kekuatan
Pendakwah terkenal di Timur Tengah, Dr Umar menyebut, pendedahan ilmiah mendapati cahaya kekuatan akan menyelubungi setiap tempat di bumi apabila berkumandang azan Subuh. Oleh itu, bagi mereka yang berpagi-pagi untuk solat Subuh akan mendapat segala kekuatan itu.
Demikianlah perintah Allah SWT yang terkandung dalamnya seribu rahmat untuk umat manusia. Di sinilah bermulanya kekuatan umat yang disarankan Allah SWT demi kebaikan hamba-Nya sekali gus dapat menghadapi segala rintangan serta dugaan.
Kekuatan dimaksudkan adalah kelapangan dada kerana manusia akan dapat menghadapi rintangan dan ranjau dengan kelapangan dada. Menunaikan solat Subuh sebagai sarapan rohani, umat Islam akan menjana kekuatan menghadapi rintangan kehidupan harian mereka.
Contoh yang dapat dipetik daripada al-Quran ialah kisah Nabi Musa dan Firaun. Apabila Nabi Musa diperintahkan untuk mengadap Raja Firaun yang telah melampaui batas, perkara pertama dipohon oleh Nabi Musa adalah kelapangan dada.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pergilah wahai Musa kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Musa berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku untuk menghadapinya." (Surah Taha, ayat 24-25)
Jelaslah kelapangan dada suatu kekuatan untuk menghadapi tugas berat. Namun, segala-galanya berubah apabila kekuatan itu diambil alih oleh bukan Islam apabila mereka memulakan kehidupan harian lebih awal berbanding umat Islam.
Maka di sinilah letaknya kelemahan umat Islam sehingga mereka jauh ketinggalan daripada kaum lain. Kelemahan itu juga telah disedari Yahudi kerana mereka melihat kekuatan umat Islam yang boleh dijanakan oleh solat Subuh sudah berkurangan atau hampir tiada.
Baginda SAW bersabda: "Dua rakaat solat Subuh mendapat pahala melebihi dari nilai dunia dan segala khazanahnya."
Menunjukkan pentingnya solat Subuh dalam kehidupan. Tidak dinafikan dosa juga akan gugur apabila kita bersabar menghadapi ujian dan bencana. Namun, kita juga perlu melihat ia juga peringatan daripada-Nya atau Allah SWT akan menggantikan dengan kebaikan yang hanya diketahui oleh-Nya.
Jika ia adalah peringatan, maka solat nadi kekuatan umat dalam menghadapi sebarang bencana. Peringatan Allah SWT amat jelas dalam firman yang bermaksud:"Kami tidak akan memusnahkan sesebuah tempat kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman." (Surah al-Qasas, ayat 50)
Dapat pertolongan
Solat Subuh juga berkait rapat dengan pertolongan Allah SWT kerana manusia amat memerlukan kepada pegangan yang kuat dan kepada Allah SWT tempat bergantung. Sabda Baginda SAW: "Solat Subuh berkait rapat dengan pertolongan Allah SWT."
Mereka yang menunaikan solat Subuh akan mendapat perlindungan daripada Allah SWT seperti kelapangan dada, keceriaan bekerja, keutuhan minda serta jati diri yang waja.
Ulama mengungkapkan; "Sesiapa yang berpegang dengan dirinya, akan berasa penat. Sesiapa berpegang kepada akalnya semata-mata, maka dia akan sesat. Sesiapa yang berpegang kepada hartanya, akan berkurangan dan sesiapa yang berpegang dengan orang lain akan menjadi hina. Namun, jika mereka berpegang dengan Allah SWT, mereka bebas daripada kepenatan, kesesatan, kekurangan harta dan jauh daripada kehinaan."
Pemikir terkenal, Dr Solah Sultan berkata: "Dunia akan sentiasa dipenuhi dengan manusia yang buruk, zalim, penipu, pengkhianat dan sebagainya. Segala-galanya di bawah pengurusan Allah SWT. Maka, mereka yang menunaikan solat Subuh akan dipelihara oleh Allah SWT daripada golongan itu. Ia juga akan menyelamatkan manusia daripada gelombang dosa yang melanda umat. Amat malang lagi apabila mendapati mereka yang menghadapi musibah masih lalai terhadap solat dan sibuk mengagihkan habuan dunia sehingga lupa kepada pencipta musibah itu sendiri dan akhirnya boleh mencetuskan pergaduhan sesama sendiri."
Sesuatu yang perlu diingat adalah peranan syaitan dalam menggagalkan umat untuk mendekati Tuhannya. Pengaruh syaitan akan mengindahkan buaian tidur sehingga kita lupa keindahan pertemuan dengan Allah SWT.

Sumber : Zamanuddin Jusoh (Berita Harian)

0 comments:

Post a Comment