Sunday, January 11, 2015

BERSANGKA BAIK DENGAN TUHAN DALAM SEGALA URUSAN

7:39 PM Posted by firassafiq No comments
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Aku berada di sisi sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku.

Jika dia bersangka baik, maka baginya (kebaikan menurut sangkaan baiknya). Jika dia bersangka buruk, maka baginya (keburukan menurut sangkaan buruknya)." (Riwayat Ibu Hibban)

Allah SWT menjelaskan kepada hamba-Nya bahawa mereka akan memperoleh sesuatu berdasarkan keyakinan mereka kepada-Nya. Keyakinan yang baik akan mengundang kebaikan, begitu juga sebaliknya.

Bersangka baik dengan Tuhan dilimpahkan kebaikan

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani, maksud "Aku di sisi keyakinan hamba-Ku terhadap-Ku" ialah Allah SWT berkuasa melaksanakan apa yang diyakini oleh manusia bahawa Dia akan melakukannya.

Hadis ini mengajak umat Islamsupaya sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT dalam segala urusan,makaAllahSWT akanmelimpahkan kebaikan yang banyak, kurniaan, kelebihan serta pelbagai pemberian.

Berbeza dengan sangkaan buruk terhadap-Nya, dia akan mendapat apa yang disangkakan.


Sumber: Buku Hadis Qudsi





MUSIBAH ORANG LAIN, UJIAN BAGI KITA

7:36 PM Posted by firassafiq No comments
Malaikat maut pada saat mencabut nyawa Nabi Nuh telah bertanya kepada Baginda: "Bagaimana kamu dapati dengan umur yang begitu panjang? Nabi Nuh menjawab: Umpama sebuah rumah yang aku masuk melalui pintu depan dan keluar melalui pintu belakang."
Nabi Nuh yang dikurniakan Allah SWT umur panjang iaitu lebih seribu tahun menggambarkan bahawa betapa masa yang dilalui itu berjalan dengan begitu pantas. Itulah mula bicara Ustazah Norhafizah Musa pada program Usrati minggu lalu.
Beliau membicarakan mengenai topik 'Sentiasa Untung' yang dikaitkan dengan tiga sikap manusia iaitu sentiasa membaca, merujuk dan beramal dengan kitab Allah (Al-Quran). Kedua, mereka yang menjaga dan memelihara solat lima waktu dan ketiga, yang menafkahkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT.
Mengambil iktibar musibah banjir yang berlaku, Norhafizah memfokuskan perbincangan kepada keuntungan yang diperoleh mereka yang menafkahkan sebahagian harta ke jalan Allah SWT.
Perniagaan tidak alami kerugian
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka daripada limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur kepada-Nya)." (Surah Faatir, ayat 29)
Semasa Allah SWT menguji hamba-Nya, Allah SWT memerintahkan malaikat untuk melihat bagaimana keadaan hamba yang diuji itu. Apabila malaikat memberitahu hamba yang diuji itu reda, maka untuknya juga keredaan Allah. Jika sebaliknya pula, hamba yang diuji itu tidak reda dan berkeluh kesah, maka begitu jugalah daripada Allah SWT kepada hamba itu.
Ujian atau musibah yang berlaku kepada orang lain sebenarnya ujian kepada diri kita. Bagaimanakah cara kita melihat ujian yang menimpa orang lain. Adakah dengan hanya memandang dengan simpati atau menghulurkan bantuan kepada mereka?
Keuntungan bukan dinilai dari aspek harta
Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak supaya mereka mengerti keuntungan bukan dinilai dari aspek harta tetapi manusia boleh menjadi beruntung dengan berkongsi harta diperoleh bersama golongan kurang berkemampuan atau mereka yang berdepan ujian. Anak perlu dididik untuk berasa simpati dan empati.
Norhafizah memberi contoh mudah iaitu ibu bapa boleh mendidik anak bermula dari sekolah dengan berkongsi makanan atau membeli makanan untuk meraikan kawan yang kurang berkemampuan. Seterusnya, anak perlu ditanam sikap sentiasa bersederhana dan merasa cukup dalam kehidupan.
Ibu bapa adalah orang paling rapat dengan anak dan mereka sepatutnya menunjukkan teladan supaya mudah mendidik anak hidup dalam kesederhanaan. Kesederhanaan mendidik hati untuk mudah menafkahkan sebahagian rezeki kepada yang memerlukan.
Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT untuk mendidik nafsu supaya berasa cukup dan syukur dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada kita.
Allah SWT Maha Mengetahui setiap ujian atau musibah yang diberikan kepada hamba-Nya kerana mereka mampu menerimanya. Allah SWT tidak akan sekali-sekali memberikan ujian kepada hamba-Nya untuk memudaratkan mereka, melainkan adalah untuk memberi kekuatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)
Setiap ujian atau musibah yang melanda untuk mendidik kita supaya reda kepada Allah SWT. Hati perlu dididik sentiasa mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT dengan apa yang telah ditakdirkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)." (Surah at-Talaaq, ayat 2-3)
Jaminan diberi jalan keluar
Alangkah ruginya mereka yang diuji Allah SWT, tetapi meninggalkan solat lima waktu. Malah merintih dan mengeluh dengan musibah yang melanda. Allah SWT telah berjanji dalam al-Quran jika hamba-Nya yang diuji itu reda dan sentiasa mengingati Allah SWT, maka akan diberi mereka jalan keluar.
Allah SWT memberi jaminan kepada hamba-Nya yang yakin dan bertakwa walau dalam apa keadaan sekalipun, sama ada dalam keadaan gembira mahupun susah.
Keredaan terhadap Allah SWT akan hilang jika hati kita diselubungi rasa syak, keraguan dan kebimbangan terhadap ujian serta musibah yang melanda. Segala tindak tanduk kita dalam kehidupan menunjukkan sama ada kita yakin atau tidak dengan ayat Allah SWT.
Keyakinan terhadap Allah SWT adalah jalan keluar bagi segala-segalanya, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu." (Surah Fussilat, ayat 30)

Sumber : Maslina Alias (Berita Harian)

SOLAT SUBUH SANTAPAN ROHANI

7:34 PM Posted by firassafiq No comments
Ciptaan manusia dilengkapkan dengan jasad, roh dan fikiran. Keseimbangan ketiga-tiga unsur itu digabungkan dalam tamadun Islam sehingga mereka menjadi cemerlang.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian, Dia menyempurnakan ciptaanNya dengan meniupkan di dalam tubuh manusia akan roh lalu dijadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati." (Surah Sajadah, ayat 9)
Berdasarkan sejarah, kita melihat tamadun India hanya menumpukan kepada spiritual semata-mata, tamadun Rom dibina atas kekuatan jasad semata-mata dan tamadun Greek menumpukan kepada falsafah serta pemikiran.
Islam menggabungkan ketiga-tiga kekuatan sebagai pelengkap kepada ciptaan manusia. Namun, Islam meletakkan kekuatan roh mengatasi segala kekuatan lain.
Kekuatan itu menjadikan umat Islam memiliki jati diri tinggi dengan menjaga perintah Allah SWT, mengutamakan rohani berbanding jasmani.
Justeru, Allah SWT mewajibkan umat Islam sujud dua rakaat solat Subuh selepas dikembalikan roh mereka pada waktu pagi sebagai persediaan menghadapi perjalanan hari itu. Inilah kekuatan yang sering dilupakan umat Islam.
Cahaya kekuatan
Pendakwah terkenal di Timur Tengah, Dr Umar menyebut, pendedahan ilmiah mendapati cahaya kekuatan akan menyelubungi setiap tempat di bumi apabila berkumandang azan Subuh. Oleh itu, bagi mereka yang berpagi-pagi untuk solat Subuh akan mendapat segala kekuatan itu.
Demikianlah perintah Allah SWT yang terkandung dalamnya seribu rahmat untuk umat manusia. Di sinilah bermulanya kekuatan umat yang disarankan Allah SWT demi kebaikan hamba-Nya sekali gus dapat menghadapi segala rintangan serta dugaan.
Kekuatan dimaksudkan adalah kelapangan dada kerana manusia akan dapat menghadapi rintangan dan ranjau dengan kelapangan dada. Menunaikan solat Subuh sebagai sarapan rohani, umat Islam akan menjana kekuatan menghadapi rintangan kehidupan harian mereka.
Contoh yang dapat dipetik daripada al-Quran ialah kisah Nabi Musa dan Firaun. Apabila Nabi Musa diperintahkan untuk mengadap Raja Firaun yang telah melampaui batas, perkara pertama dipohon oleh Nabi Musa adalah kelapangan dada.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pergilah wahai Musa kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Musa berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku untuk menghadapinya." (Surah Taha, ayat 24-25)
Jelaslah kelapangan dada suatu kekuatan untuk menghadapi tugas berat. Namun, segala-galanya berubah apabila kekuatan itu diambil alih oleh bukan Islam apabila mereka memulakan kehidupan harian lebih awal berbanding umat Islam.
Maka di sinilah letaknya kelemahan umat Islam sehingga mereka jauh ketinggalan daripada kaum lain. Kelemahan itu juga telah disedari Yahudi kerana mereka melihat kekuatan umat Islam yang boleh dijanakan oleh solat Subuh sudah berkurangan atau hampir tiada.
Baginda SAW bersabda: "Dua rakaat solat Subuh mendapat pahala melebihi dari nilai dunia dan segala khazanahnya."
Menunjukkan pentingnya solat Subuh dalam kehidupan. Tidak dinafikan dosa juga akan gugur apabila kita bersabar menghadapi ujian dan bencana. Namun, kita juga perlu melihat ia juga peringatan daripada-Nya atau Allah SWT akan menggantikan dengan kebaikan yang hanya diketahui oleh-Nya.
Jika ia adalah peringatan, maka solat nadi kekuatan umat dalam menghadapi sebarang bencana. Peringatan Allah SWT amat jelas dalam firman yang bermaksud:"Kami tidak akan memusnahkan sesebuah tempat kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman." (Surah al-Qasas, ayat 50)
Dapat pertolongan
Solat Subuh juga berkait rapat dengan pertolongan Allah SWT kerana manusia amat memerlukan kepada pegangan yang kuat dan kepada Allah SWT tempat bergantung. Sabda Baginda SAW: "Solat Subuh berkait rapat dengan pertolongan Allah SWT."
Mereka yang menunaikan solat Subuh akan mendapat perlindungan daripada Allah SWT seperti kelapangan dada, keceriaan bekerja, keutuhan minda serta jati diri yang waja.
Ulama mengungkapkan; "Sesiapa yang berpegang dengan dirinya, akan berasa penat. Sesiapa berpegang kepada akalnya semata-mata, maka dia akan sesat. Sesiapa yang berpegang kepada hartanya, akan berkurangan dan sesiapa yang berpegang dengan orang lain akan menjadi hina. Namun, jika mereka berpegang dengan Allah SWT, mereka bebas daripada kepenatan, kesesatan, kekurangan harta dan jauh daripada kehinaan."
Pemikir terkenal, Dr Solah Sultan berkata: "Dunia akan sentiasa dipenuhi dengan manusia yang buruk, zalim, penipu, pengkhianat dan sebagainya. Segala-galanya di bawah pengurusan Allah SWT. Maka, mereka yang menunaikan solat Subuh akan dipelihara oleh Allah SWT daripada golongan itu. Ia juga akan menyelamatkan manusia daripada gelombang dosa yang melanda umat. Amat malang lagi apabila mendapati mereka yang menghadapi musibah masih lalai terhadap solat dan sibuk mengagihkan habuan dunia sehingga lupa kepada pencipta musibah itu sendiri dan akhirnya boleh mencetuskan pergaduhan sesama sendiri."
Sesuatu yang perlu diingat adalah peranan syaitan dalam menggagalkan umat untuk mendekati Tuhannya. Pengaruh syaitan akan mengindahkan buaian tidur sehingga kita lupa keindahan pertemuan dengan Allah SWT.

Sumber : Zamanuddin Jusoh (Berita Harian)

TUN ABDUL RAHMAN YA'KUB (BAPA PERPADUAN SARAWAK)

7:31 PM Posted by firassafiq No comments

Tun Abdul Rahman Ya'kub(3 Januari 1928 hingga 9 Januari 2015) - Foto BERNAMA
Di sebalik tubuhnya yang kecil, mungkin tidak ramai mengetahui Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya'kub berkemahiran tinggi dalam pelbagai seni mempertahankan diri, termasuk Aikido dari Jepun.
Kecenderungan terhadap seni mempertahankan diri itu turut membawa kepada pertemuannya dengan pengasas Aikido, Morihei Ueshiba.
Malah, seni mempertahankan diri itu juga membentuk keperibadiannya, selain menjadikan beliau seorang yang berjiwa kental dan cekal dalam menghadapi jatuh bangun dalam arena politik sehingga muncul sebagai tokoh disegani.
Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-4 menghembuskan nafas akhirnya di Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya pada jam 9.30 malam kelmarin kerana sakit tua, genap seminggu selepas meraikan ulang tahunnya ke-87 pada 3 Januari lalu.
Sumbangan besar kepada negeri dan negara
Pemergian Allahyarham, yang memegang jawatan itu dari 2 April 1981 hingga 2 April 1985, bukan saja dirasakan oleh anggota keluarganya, bahkan segenap lapisan rakyat berikutan sumbangan besarnya kepada negeri dan negara.
Ketika dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-3 dari 7 Julai 1970 hingga 2 Mac 1981, tokoh kelahiran Kampung Jepak, Bintulu ini banyak menyumbang kepada perubahan landskap negeri, terutama dalam konteks pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi rakyat.
Era kepemimpinan beliau juga disifatkan paling mencabar berikutan 'usia kemerdekaan' Bumi Kenyalang yang masih muda ketika itu, selain turut dibelenggu isu kemiskinan, masalah konfrontasi dan ancaman komunis.
Dilahirkan pada 3 Januari 1928, Allahyarham adalah tokoh yang memiliki episod hidup yang menarik dan warna-warni sejak kecil sehingga menjadikan beliau pemimpin politik berjiwa kental.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Anchi, Miri. Ayah Allahyarham mahukannya menjadi tokoh agama dan belajar di Madrasah Arab Al-Juned pada tahun 1939, tetapi dibangkang oleh ibunya yang tidak dapat berjauhan dengannya. Beliau kemudian ditukarkan ke Sekolah St Joseph, Miri, tetapi pembelajarannya terbantut berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua.
Abdul Rahman pernah bekerja sebagai penguji minyak untuk Syarikat Shell Sarawak dan menjadi guru sandaran di Kuching sebelum diterima sebagai Pegawai Hal Ehwal Bumiputera dalam Perkhidmatan Awam Sarawak pada tahun 1948.
Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Southampton, England dalam jurusan undang-undang sebelum muncul sebagai Bumiputera pertama Sarawak yang lulus sebagai peguam daripada Lincoln's Inn pada tahun 1958. Sekembalinya ke tanah air, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Undang-Undang Sarawak dari tahun 1959 hingga 1963.

Abdul Rahman rapat dengan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Potensi Allahyarham menarik minat Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman hingga membawanya ke bidang politik apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Galian.
Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pelajaran, dengan sumbangan terbesarnya mengilhamkan penukaran medium Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu bagi sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) melalui 'Laporan Rahman.' Malah, Allahyarham juga antara individu yang menyumbang idea kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970.
Beliau juga antara pemimpin yang lantang mencadangkan perlunya Malaysia mempunyai syarikat minyak sendiri hingga menyaksikan penubuhan PETRONAS pada tahun 1976 yang membawa kemakmuran ekonomi negara hingga kini.
Di bawah kepemimpinan Tun Abdul Razak, Allahyarham diarahkan kembali ke Bumi Kenyalang bagi 'menyelamatkan' kerajaan negeri berikutan pemecatan Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan lantaran krisis politik ketika itu.
Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 1969 (yang diadakan pada 1970) atas tiket Parti Bumiputera Sarawak (Bumiputera) yang menjadi sekutu Perikatan Sarawak.
Tokoh berkarisma
Selepas pilihan raya itu, tiada parti yang bertanding memperoleh majoriti kukuh dan Abdul Rahman dengan kebijaksanaan, karisma dan sokongan Kerajaan Persekutuan meyakinkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk menyertai gabungan Perikatan Sarawak. Kejayaan itu meletakkan Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-3 - seorang Melayu-Melanau beragama Islam untuk kali pertama.
Perintis usaha perdamaian dengan pihak komunis
Pada peringkat pentadbiran negeri, antara sumbangan terbesar Allahyarham yang direkodkan ialah kejayaan merintis usaha perdamaian dengan pihak komunis di Sarawak. Melalui Operasi Sri Aman pada tahun 1974, Abdul Rahman berjaya meyakinkan Bong Kee Chok, pemimpin Parti Rakyat Kalimantan Utara untuk bersama 482 gerila komunis diketuainya meletak senjata.
Pada tahun 1981, akibat desakan politik dan selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di London, Allahyarham mengumumkan persaraannya daripada politik. Difahamkan, pengunduran itu juga bagi memberi laluan kepada anak saudara kesayangan beliau yang juga anak didiknya, Tun Abdul Taib Mahmud untuk menerajui kepemimpinan negeri.
Abdul Rahman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-4 menggantikan Tun Abang Salahuddin Abang Barieng yang tamat tempoh perkhidmatannya ketika itu.
Ia juga detik bermulanya episod 'percakaran dalaman' Abdul Rahman dan Abdul Taib disebabkan percanggahan pendapat dan salah faham sehingga membawa perubahan besar kepada senario politik negara, sekali gus pada tahun 1987, beliau menubuhkan parti baharu, Parti Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) yang berusaha menyingkirkan Abdul Taib dan bergabung dengan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) yang juga serpihan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).
Ketika semua pihak menyangka hubungan bapa dan anak saudara ini begitu keruh, mereka bertemu dan berpelukan pada sambutan ulang tahun Abdul Rahman ke-80 di Hotel Hilton Kuching pada tahun 2008.
Abdul Rahman menyifatkan hubungan darah kedua-duanya adalah lebih pekat berbanding air, malah tidak akan sesekali terputus walaupun pelbagai isu politik dan percanggahan pendapat berlaku antara mereka.
Legasi politiknya kini diwarisi anak perempuannya, Datuk Norah Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Tanjung Manis.
Pemergian Allahyarham meninggalkan legasi kepemimpinan gemilang, malah kehilangannya amat dirasai anggota keluarga, pengikut setia dan anak murid beliau. Al-Fatihah.

Sumber : Hardi Effendi Yaacob Dan Rudi Affendi Khalik (Berita Harian)

HIDUP POSITIF KECAP KEMANISAN IMAN

7:28 PM Posted by firassafiq No comments
Sesungguhnya mental, fizikal dan spiritual adalah tiga aspek penting yang wujud dalam diri manusia sama ada yang bertamadun atau tidak, beragama atau tidak beragama. Ketiga-tiga aspek itu diisi oleh Islam berdasarkan panduan wahyu dengan nama iman, Islam dan ihsan.

Iman adalah kepercayaan atau akidah. Islam adalah pengamalan atau syariat, manakala ihsan adalah kerohanian atau akhlak. Iman, Islam dan ihsan itu paksi kepada agama Islam seperti mana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

Ketiga-tiga paksi agama Islam itu mestilah diambil berat oleh setiap Muslim secara seiringan tanpa boleh dipisahkan. Apabila lengkap ketiga-tiga paksi itu maka lengkaplah penghayatan Islam seseorang.

Sesungguhnya, kemanisan iman bermaksud perasaan gembira melakukan ibadah dan sanggup menanggung kesukaran demi mendapatkan keredaan Allah SWT serta rasul-Nya. Taatilah segala suruhan, larangan serta mengutamakan Allah SWT dan rasul-Nya lebih daripada segala-galanya.

Rasulullah SAW menjelaskan, kemanisan iman itu tercapai dengan pengakuan, penerimaan dan penghayatan Allah SWT sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad SAW itu sebagai rasulnya.

Kemanisan iman penting bagi setiap Muslim kerana apabila kemanisan iman telah bertapak di jiwa seseorang Muslim maka dia tidak lagi malas, bosan, penat dan cuai sebaliknya sentiasa semangat, rajin serta cergas dalam melaksanakan segala tuntutan Islam.

Muslim yang mengecapi kemanisan iman pastinya sentiasa positif dalam kehidupannya. Apabila dia mendapat nikmat dia bersyukur, apabila dia mendapat musibah dia bersabar. Jiwanya sentiasa reda, syukur dan bahagia.

Hatinya sentiasa bahagia apabila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Dirinya sentiasa merasakan keberadaan dan pengawasan Allah SWT dengan kehidupan yang bertunjangkan kepada penghayatan ihsan.

Rasulullah SAW telah memberi panduan dengan kaedah yang jelas untuk merasa kemanisan iman. Riwayat Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Tiga perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang nescaya dia akan merasai kemanisan iman iaitu dia menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintai olehnya daripada yang lain daripada keduanya; dia mencintai saudaranya tiada lain cintanya itu melainkan kerana Allah SWT semata-mata; dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka."
Melalui panduan hadis itu, kemanisan iman boleh diusahakan dengan mencintai Allah SWT lebih daripada segala-galanya. Cinta kepada Allah SWT menghasilkan kemanisan iman pada tahap tertinggi. Melaluinya jiwa sentiasa tenang dan hati sentiasa dipandu oleh petunjuk-Nya.

Kedua, mencintai Rasulullah SAW selepas cintanya kepada Allah SWT kerana cinta kepada Allah SWT tidak dapat dipisahkan dengan cinta kepada kekasih-Nya, Muhammad bin Abdullah. Sesungguhnya Baginda utusan Allah SWT yang menyampaikan segala perkara dikehendaki oleh Allah SWT.

Melalui Baginda, kita mendapatkan Islam, mengenal Allah SWT dan mengetahui segala perintah serta larangan-Nya. Kedudukan Baginda tiada taranya, Baginda insan teragung dan rasul terulung. Sesungguhnya, untuk mendapat cinta Allah SWT maka seseorang itu perlu mencintai Rasulullah SAW.

Ketiga, mencintai saudaranya kerana Allah SWT semata-mata. Allah SWT menciptakan manusia dalam pelbagai warna, bangsa dan adat untuk saling kenal mengenali. Justeru, kemanisan iman ialah dengan mencintai saudaranya hanya kerana Allah SWT.

Hubungan persaudaraan yang wujud bukanlah kerana kemuliaan, harta atau pangkat tetapi hubungan yang wujud hanya kerana Allah SWT semata-mata. Persaudaraan menjamin keamanan, kebahagiaan dan kejayaan bagi sesebuah masyarakat bukan sahaja di dunia tetapi berterusan sehingga ke akhirat.

Keempat, membenci dan tidak akan kembali kepada kekufuran. Mukmin yang mencapai kemanisan iman akan menyembah dan mengabdikan dirinya kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Dia tidak akan menyembah Allah SWT apabila beroleh kebaikan dan apabila ditimpa kesusahan dia kufur.

Antara cara meningkatkan keimanan ialah memahami serta menghayati zat, perbuatan dan sifat Allah SWT. Memahami dan menghayati ayat al-Quran sebagai panduan dalam mencapai kebahagiaan, memperbanyakkan zikir dan mengingati Allah SWT dalam setiap keadaan, masa serta tempat.

Mengamalkan sunah Nabi Muhammad SAW serta mencontohi akhlak Baginda. Sentiasa bersama dengan ilmuwan, ahli ibadah, teman soleh solehah yang sentiasa mengingatkan kealpaan kita terhadap Allah SWT serta berdoa memohon petunjuk daripada Allah SWT supaya menetapkan hati kita dalam ketaatan.


Sumber : Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)


TIPS KESIHATAN KETIKA BANJIR

7:22 PM Posted by firassafiq No comments
MENGENAI BANJIR
Banjir adalah keadaan di mana air telah naik melebihi paras bahaya dan diisytiharkan banjir oleh pihak berkuasa.

MASALAH MASALAH YANG BERLAKU SEMASA BANJIR
  • Lemas.
  • Terkena renjatan elektrik.
  • Terdedah kepada pelbagai jenis kecederaan seperti terpijak benda tajam atau terjauth ke dalam longkang.
  •  Terdedah kepada jangkitan penyakit seperti taun, cirit birit dan demam kepialu.

TINDAKAN YANG PERLU ANDA LAKUKAN SEMASA BANJIR
  • Jauhi kawasan yang dilanda banjir.
  •  Pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarah oleh pihak berkuasa.
  • Matikan semua punca bekalan elektirk apabila berpindah.
  • Tidak menyentuh dawai elektrik yang terjatuh di kawasan banjir.

BAGAIMANA KITA BOLEH MENJAGA KESIHTAN KETIKA BERADA DI PUSAT PEMINDAHAN?
  • Sentiasa minum air yang telah dimasak.
  • Makan makanan yang dimasak sahaja.
  • Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling.
  • Guna tandas yang sempurna.
  • Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor.
  • Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit birit dan muntah muntah.




Sumber : Mohd Zaeem dan Mohd Ridzuan (Berita Harian)

Thursday, January 8, 2015

SIAPA YANG PALING HINA?

11:20 PM Posted by firassafiq No comments
Bismillah

,السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه .
 اَللَّهُمَّ صَلِّ َعلى سيدنا مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آِل سيدنا مُحَمَّد 

Salam Sayyidul Ayyam..

Ada seorang pemuda. Dia belajar dengan seorang guru agama. Setelah beberapa bulan, guru itupun memberi satu ujian.

Kata si guru kepada pemuda itu, " telah aku ajarkan bermacam-macam perkara kepadamu. Soalan yang aku beri, kau mampu menjawabnya denang baik. Kini,aku berikan kau ujian terakhir. Aku berikan masa selama tiga hari.

Pergilah engkau mencari makhluk Allah yang lebih buruk dan hina berbanding diri mu. Dan kemudian datang kepada ku semula membawa jawapan mu.

Maka pergilah berjalan pemuda itu ke serata tempat. Hari pertama, dia bertemu dengan seorang lelaki pemabuk. Setiap waktu kerja lelaki itu hanya meminum minuman haram itu.

" Inilah orang yang lebih buruk dari aku. Lelaki ini menghabiskan setiap waktunya dengan mabuk, sedangkan aku tidak pernah lupa membuat amal ibadat ", kata pemuda itu dalam hati.

Tetapi, tidak lama kemudian, terdetik semula dihati pemuda itu. Belum tentu lelaki pemabuk itu seorang yang hina. Siapa tahu jika diakhir hayatnya, Allah akan memberi hidayah dan dia kembali kepangkal jalan. Bahkan, mungkin ibadatnya jauh lebih baik daripada aku.

Pemuda itu tidak puas hati. Dia berjalan lagi dan bertemu anjing jalanan. Haiwan itu kotor. Dipenuhi luka dan menjijikan. " Anjing adalah haiwan yang haram dimakan. kotor dan buruk. Ya, anjing ini lebih buruk dan hina dari aku," getusnya dalam hati.

Namun, semasa duduk termenung, pemuda itu berfikir semula. Jika anjing itu mati, ia tidak dipertanggungjawabkan atas perbuatan semasa didunia berbanding manusia. Sedangkan dirinya sudah pasti akan dikira segala dosa semasa masih hidup . Jika banyak dosa, dia akan masuk Neraka. Bermakna,anjing itu tidak seburuk seperti yang disangkanya.

Pemuda itu mengeluh. Merenung semula dengan jawapan yang dicari terhadap persoalan yang diberi gurunya.

Pada hari ketiga, permuda itu datang menghadap gurunya. " Sudahkan engkau mendapat jawapanya? " tanya si guru.  " Sudah. Yang paling buruk dan hina adalah diriku sendiri," jawab pemuda itu.

Guru itu tersenyum. Katanya, " benar, selama kita hidup, kita tidak boleh sombong dan berasa baik dari orang lain. Kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup kita kelak. Hanya Allah yang berhak untuk berasa ' sombong ' kepada hamba-hambanya. Baiklah kamu lulus ujian ini ",


Sumber : Perkongsian Group Whatsapp

KASIH SEORANG SAHABAT (BILAL BIN RABAH)

1:16 AM Posted by firassafiq No comments
Menceritakan tentang Rasulullah SAW,makhluk yang sangat dicintai dalam hati kamu. Seagung-agung makhluk yang dicintai daripada ciptaan ALLAH semuanya.
Ketika kamu mendengar nama “Muhammad”,apakah yang dilakukan oleh hati kamu terhadap nama ini?

Apakah yang dilakukan oleh hati kamu terhadap nama ini??

Apakah yang menyentuh hati kamu?

Saidina Bilal bin Rabbah ketika berpindahnya Baginda SAW kepada rafiqul ‘ala..Kisah ini di “hassan” kan oleh sebahagian ahli huffaz hadis.Setelah mana berpindahnya Baginda SAW kepada rafiqul ‘ala,beliau tidak mampu lagi menetap di Madinah.Kerana kesemuanya disitu mengingatkan Bilal pada peristiwa-peristiwa yang berlaku bersama Baginda SAW,lantas dia berpindah ke tanah Syam,ke negeri yang penuh suci lagi berkat kerana pernah didoakan Nabi SAW.Beliau berpindah ke “Daraya” dekat dengan Damsyik dan berkahwin di sana.
Kemudian beliau terjaga pada suatu hari dalam keadaan menangis.Bertanya isterinya “Apakah yang membuatkan dikau menangis?”

Beliau menjawab “Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW malam tadi..”
Adakah memberi makna bagi kamu ketika mendengar kata-kata : “Aku bermimpi melihat Rasulullah SAW”??

Adakah tergerak dihati kamu kerinduan untuk melihatnya?

Baginda SAW bersabda seperti yang telah disebut dalam sohih bukhari dan muslim.”Barangsiapa melihatku didalam mimpi,sesungguhnya dia melihatku sebenar-benarnya”.Tidaklah baginda bersabda demikian melainkan hanya untuk menggerakkan hati kamu terhadap kerinduan terhadapnya.”Aku bermimpi semalam melihat Rasulullah SAW bersabda :”Wahai Bilal,apakah keasingan ini?tidakkan sekarang ini waktu untuk kamu menziarahi aku?”Keluar Bilal menziarahi Kota Madinah.

Pada kisah ini ada penceritaan yang agung diantaranya :

Ketika tibanya di Madinah lantas beliau menangis dengan tangisan yang tak dapat dibendung.Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a.h bertemunya berkata : “Wahai Bilal,mengapa kamu tidak kamu melaungkan azan bagi kami seperti mana azankan bagi Rasulullah SAW suatu ketika dahulu?Bilal berkata :”Maafkan aku wahai khalifah Rasulullah SAW,demi ALLAH aku tak mampu melaungkan azan di Kota Madinah ini selepas kewafatan Baginda.Kerana dahulu setelah aku selesai azan,aku terus menuju ke bilik Rasulullah SAW dan berkata :”Solat ya Rasulullah SAW”..dan sekarang macam mana pula hendak aku berkata sedemikian..”

Saidina Umar r.a.h pun juag begitu..Kemudian bertemu Saidina Hasan dan Hussain.
Salah seorangnya berumur 8 dan seorang lagi berumur 7 tahun.Ketua pemuda ahli syurga.Bilal memeluk kedua mereka dan menangis.Tercium pada kedua mereka wangian milik atuk mereka SAW.Saidina Hasan dan Hussain meminta Bilal untuk melaungkan azan.Beliau tidak mampu menolak permintaan kedua mereka dan terus beliau naik ketempat yang pernah beliau berdiri azan ketika zaman Rasulullah SAW.

Ketika beliau azan “ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR”,terkejut penduduk Kota Madinah.

“ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR” berteriak manusia di rumah “Adakah diutuskan semula Rasulullah SAW?”

Mereka teringat suara azan ini ketika hidupnya Baginda SAW suatu ketika dahulu.
“ASYHADU AN LA ILAHA ILLA ALLAH” keluar semua lelaki dari rumah mereka.Keluar mereka dari pasar-pasar mereka.

“ASYHADU AN LA ILAHA ILLA ALLAH” keluar wanita dari rumah-rumah mereka.Lelaki dan wanita semua keluar ke lorong-lorong Kota Madinah berteriak : “Adakah diutuskan semula Rasulullah?”

“Adakah diutuskan semula Rasulullah?”

Ketika mana sampainya azan Bilal kepada “ASYHADU ANNA MUHAMMAD RASULULLAH” terasa kesedihan yang sayu,beliau tidak mampu menyempurnakan azannya.Lantas turun dari tempat azannya.Berkata perawi kisah..Madinah tidak pernah kelihatan sedih sayu begitu selepas kewafatan Baginda melainkan pada hari Bilal melaungkan azan “ASYHADU ANNA MUHAMMAD RASULULLAH”.

Kisah ini disebut semula dalam majlis ini,agak kita rasai sedalam-dalamnya kalimah “AKU BERSAKSI BAHAWA MUHAMMAD ITU RASULULLAH”

Jika tidak ada Baginda,tidaklah kamu mengenali azan dan juga tidaklah kamu mengenali solat.Juga kamu tidak mengenali “LA ILAHA ILLA ALLAH” dan tidak sempurna keimanan seseorang itu sehingga menjadikan Baginda orang yang sangat dincintai dari dirinya.”Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga menjadikan aku (Rasulullah) orang yang sangat dicintai dari dirinya.Dan telah ALLAH jadikan kecintaan padaNYA bersangkut paut dengan kecintaan terhadap Baginda SAW.Tidak ALLAH jadikan kecintaan padaNYA bersangkut paut dengan kecintaan terhadap makhlukNYA. Melainkan hanya dengan Saidina Muhammad SAW.

“Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai ALLAH maka ikutilah aku (Rasulullah)..” surah ali imran :31

Dan hasil dari mencintai Rasulullah,ALLAH akan mencintai kamu.Tidak cukup hanya sekadar kamu mencintai ALLAH.Bahkan menjadi kecintaan pada ALLAH itu menyebabkan lahirnya kecintaan terhadap Baginda SAW.Bagaimana kamu mendengar azan suara azan lima kali sehari pada setiap hari berulang kali menyebut “ASYHADU ANNA MUHAMMAD RASULULLAH”.

Kamu tahu menyahutnya “ASYHADU ANNA MUHAMMAD RASULULLAH” selepas azan itu sunnah.Adakah dengan hati yang hadir,dengan hati yang sentiasa berhubung dengan Baginda SAW yang mulia ini?

Dengan kekasih yang dicintai ini Rasulullah SAW?

Kamu tahu menyebut “kami redha dengan ALLAH sebagai tuhan yang telah menghantarkan kepada kami Rasul Muhammad SAW.Kamu tahu menyebut “kami redha dengan ALLAH sebagai tuhan dan kami redha dengan saidina Muhammad sebagai Nabi.Dan kami redha dengan Islam sebagai agama”.

(Terjemahan majlis ilmu kalam Syeikh al Habib Ali al Jufri)


Sumber : MyIbrah

AMALAN BAIK DI WAKTU PAGI

1:03 AM Posted by firassafiq No comments
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera
Kalau kita terjaga dari tidur di waktu pagi, apa yang hendak kita buat? Minum Air? Mandi? Makan Nasi? Macam-macam yang kita boleh buat, betul tak? Namun, bagi seorang Islam kita ada adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Sememangnya tidak rugi kita mengamalkan Amalan Baik Di Waktu Pagi kerana terdapat hikmah yang baik di sebaliknya. Beberapa perkara yang seharunya kita jadikan amalan apabila bangun dari tidur adalah seperti berikut:

Menyapu muka

Perbuatan ini memang menjadi amalan Rasulullah SAW tatkala bagun pagi berdasarkan satu hadith yang bermaksud:
“Rasulullah bangun tidur, kemudian duduk sambil mengusap wajahnya dengan tangannya.”(Riwayat Muslim) 

Berdoa

Salah satu sebab kenapa kita perlu berdoa sebaik sahaja bangun dari tidur adalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.


Bersugi (Memberus Gigi)

 Setelah berdoa dan menyapu muka, bolehlah kita bersugi atau menggosok gigi. Hal ini boleh dirujuk dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila Rasulullah s.a.w bangun daripada tidur, baginda akan membersihkan mulutnya dengan bersugi.” (Muttafaq ‘alaih) 

Membasuh kedua-dua belah tangan
Rasulullah SAW menganjurkan kita supaya membasuh kedua-dua belah tangan di waktu pagi kerana semasa tidur, kita tidak tahu ke mana tangan kita bergerak. Perkara ini dinyatakan dalam sebuah hadith yang bermaksud:
“Apabila salah seorang daripada kamu bangun daripada tidur, maka basuhlah tangan kamu terlebih dahulu tiga kali sebelum memasukkan kedua-dua tangan ke dalam bekas, kerana kamu tidak tahu di mana tangan kamu berada ketika sedang tidur.”(Mutaffaq ‘alaih) 

Beristinthar

Perkataan Beristinthar bermaksud perbuatan memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskan kembali .
Rasulullah SAW menyuruh kita beristinthar di waktu pagi kerana syaitan suka bermalam di batang hidung. Boleh rujuk maksud hadith di bawah ini.
Rasulullah S A W bersabda yang bermaksud : “apabila seorang antara kalian bangun tidur, maka berwuduklah dan kemudian beristintharlah sebanyak tiga kali kerana syaitan bermalam di batang hidungnya.” (Riwayat al-Bukhari) 

Selain 5 amalan yang dinyatakan di atas, kita digalakkan memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT dan berzikir. Tunaikan solat berjemaah sama ada di rumah ataupun di masjid. Sebaik-baiknya berjemaah di masjid. Selepas solat Subuh, kita juga digalakkan membaca Al-Mathurat. Al-Mathurat adalah himpunan doa-doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW yang di susun oleh Hassan Al-Banna. Kemudian, cari sedikit masa untuk melakukan solat Dhuha. Marilah kita beramal dengan Amalan Baik Di Waktu Pagi. Amalan yang ringkas tetapi ikhlas dan istiqamah baolamat diiktiraf oleh Allah SWT.

Amalan yang paling disukai di sisi Allah Taala ialah sesiapa yang melakukan amalan itu secara berterusan sekalipun sedikit.” (Riwayat Muslim).

Sumber : Faizal Bin Mohamad Twon Tawi (MyIbrah)

DOSA DALAM PERKAHWINAN

12:54 AM Posted by firassafiq No comments
Sedarkah kita bahawa perkahwinan itu merupakan satu tanggungjawab dan amanah?
Perkahwinan itu bukan hanya berlangsung sehari di hari pernikahan dan walimatulurus yang memerlukan belanja puluh-puluh ribu namun perkahwinan itu adalah selepas hari pengantin dirai bagai raja sehari. Jika sebelum ini kita hanya hidup bujang tetapi tiba-tiba ada manusia asing yang masuk kedalam hidup kita.  Jika sebelum ini kita hanya hidup dalam kelompok keluarga kita, namun setelah berkahwin kita perlu hidup dalam kelompok keluarga lain yang mungkin budayanya amat jauh berbeza dengan budaya hidup kita sebelum ini. Jika sebelum ini kita masak untuk seorang makan, selepas berkahwin kita perlu masak untuk dua orang makan.
Entah berapa banyak “jika” untuk kita senaraikan.
Pendek kata perkahwinan itu suatu perkara yang memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Jika boleh biarlah perkahwinan yang kita bina itu berkekalan hingga ke taman-taman syurga kelak. Tetapi mengapa dikatakan dosa dalam perkahwinan?


Kita memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru. Oleh sebab itu, kita perlu benar-benar bersedia. Jika tersilap langkah pasti akan mengundang dosa walaupun hakikatnya perkahwinan itu adalah salah satu cara untuk mendapatkan pahala.


Memandang wajah suami atau isteri pun sudah dapat pahala apatah lagi jika senyum. Bab dosa dan pahala memang urusan Allah S.W.T, kita yang makhluk ini haruslah beringat dan berjaga-jaga.
Jika perempuan yang tidak menjaga dirinya dari segi aurat dan sebagainya, si suami yang terpaksa menanggung dosa. Jika si isteri meninggikan suara pada suaminya, itu juga satu dosa.Oleh itu, jika kita masih belum benar-benar bersedia, jangan cuba dekati perkahwinan. Memang ada yang berkata:
“Kalau nak tunggu betul-betul sedia memang tak kahwinlah sampai ke tua.”
Ada juga yang berkata:
“Sedia itu datang seiring dengan niat kita untuk berkahwin.”
Sedia itu merujuk kepada apa?

Ilmu rumahtangga?
Ilmu Agama?
Persediaan mental dan fizikal?


Semua aspek kita perlu bersedia. Paling penting adalah ilmu bagaimana kita mahu melayarkan bahtera rumahtangga. Rumahtangga dan keluarga bagaimana yang kita mahukan? Adakah keluarga yang bercirikan Islam pada dasarnya atau keluarga yang hanya Islam pada nama? Itu perlu ditanya pada diri sendiri. Rumahtangga yang bagaimana kita mahukan? Cuba renungkan dan fikirkan dalam-dalam.
Orang-orang yang enggan menikah kerana hendak menghindari beban tanggungjawab adalah orang-orang yang tersesat. Sebab perasaan takut memberi nafkah menjadikan iman seseorang itu cacat.” – (Imam Hasan al-Banna)
Firman Allah S.W.T:
” Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik itu adalah bagi orang-orang yg bertaqwa.” - (Surah Thaha: Ayat 132)
Tetapi jangan pula kita takut untuk menikah kerana pernikahan itu adalah sunnah Rasulullah S.A.W. Menyempurnakan perkahwinan ibarat menyempurnakan sebahagian daripada agama. Dengan berkahwin juga dapat melahirkan zuriat yang halal yang mudah-mudahan menjadi khalifah di muka bumi ini. Ramai yang berkongsi kata-kata ini di Laman Facebook.
Aku nikahkan Dikau ……  dengan anak ku ….. 
Aku terima nikahnya si fulanah binti si fulan dengan mas kahwinnya RM….”
Itu adalah tersurat. Apa yang tersirat? Yang tersirat ialah:
“Aku tanggung dosa-dosa si fulanah ini dari ibu bapanya, apa saja dosa yang dia buat, aku tanggung dan bukan lagi ibu bapanya tanggung dan aku tanggung dosa bakal anak-anak aku. Akulah orang yang bertanggung jawab dalam memberinya nafkah zahir dan batin, memberinya ilmu dunia Akhirat dan juga bertanggung jawab memegang tanganya bersama-sama berlari bertemu-Mu Tuhan. Aku juga sedar, sekiranya aku gagal dan aku lepas tangan dalam menunaikan tanggung jawab, maka aku fasik, suami yang dayus dan aku tahu bahawa nerakalah tempatku akhirnya dan malaikat Malik akan melibas aku hingga pecah hancur badanku. Akad nikah ini bukan sahaja perjanjian aku dengan si isteri dan si ibu bapa isteri, tetapi ini adalah perjanjian terus kepada Tuhan.”
Berat bukan tanggungjawab seorang suami? Berkahwin bukan semata-mata bagi nafkah zahir dan batin sahaja namun juga ilmu. Jika isteri tersalah, tegurlah jangan biarkan sampai ia menjadi barah dalam keluarga.
Jika usia sudah mencecah 20-an buatlah persediaan dari sekarang.  Persediaan dari ilmu rumahtangga, ilmu agama, ilmu hendak mendidik anak-anak, ilmu segala jenis ilmu yang berkaitan supaya rumahtangga yang dibina dalam redha Allah S.W.T. Material juga perlu sedia juga baik lelaki mahupun perempuan. Paling penting restu ibu bapa. Kerana redha Allah S.W.T terletak pada redha Ibu bapa. Wallahualam.
Mari kita ikuti sedutan video dibawah oleh Ustaz Azhar Idrus tentang “do’s and don’ts” dalam perkahwinan mengikut Islam :).
Sumber : MyIbrah