Sesungguhnya mental, fizikal dan spiritual adalah tiga aspek
penting yang wujud dalam diri manusia sama ada yang bertamadun atau tidak,
beragama atau tidak beragama. Ketiga-tiga aspek itu diisi oleh Islam
berdasarkan panduan wahyu dengan nama iman, Islam dan ihsan.
Iman
adalah kepercayaan atau akidah. Islam adalah pengamalan atau syariat, manakala
ihsan adalah kerohanian atau akhlak. Iman, Islam dan ihsan itu paksi kepada
agama Islam seperti mana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.
Ketiga-tiga
paksi agama Islam itu mestilah diambil berat oleh setiap Muslim secara
seiringan tanpa boleh dipisahkan. Apabila lengkap ketiga-tiga paksi itu maka
lengkaplah penghayatan Islam seseorang.
Sesungguhnya,
kemanisan iman bermaksud perasaan gembira melakukan ibadah dan sanggup
menanggung kesukaran demi mendapatkan keredaan Allah SWT serta rasul-Nya.
Taatilah segala suruhan, larangan serta mengutamakan Allah SWT dan rasul-Nya
lebih daripada segala-galanya.
Rasulullah
SAW menjelaskan, kemanisan iman itu tercapai dengan pengakuan, penerimaan dan
penghayatan Allah SWT sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad SAW
itu sebagai rasulnya.
Kemanisan
iman penting bagi setiap Muslim kerana apabila kemanisan iman telah bertapak di
jiwa seseorang Muslim maka dia tidak lagi malas, bosan, penat dan cuai
sebaliknya sentiasa semangat, rajin serta cergas dalam melaksanakan segala
tuntutan Islam.
Muslim
yang mengecapi kemanisan iman pastinya sentiasa positif dalam kehidupannya.
Apabila dia mendapat nikmat dia bersyukur, apabila dia mendapat musibah dia
bersabar. Jiwanya sentiasa reda, syukur dan bahagia.
Hatinya
sentiasa bahagia apabila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran.
Dirinya sentiasa merasakan keberadaan dan pengawasan Allah SWT dengan kehidupan
yang bertunjangkan kepada penghayatan ihsan.
Rasulullah
SAW telah memberi panduan dengan kaedah yang jelas untuk merasa kemanisan iman.
Riwayat Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
"Tiga perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang nescaya dia akan
merasai kemanisan iman iaitu dia menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintai
olehnya daripada yang lain daripada keduanya; dia mencintai saudaranya tiada
lain cintanya itu melainkan kerana Allah SWT semata-mata; dan dia benci kembali
kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api
neraka."
Melalui
panduan hadis itu, kemanisan iman boleh diusahakan dengan mencintai Allah SWT
lebih daripada segala-galanya. Cinta kepada Allah SWT menghasilkan kemanisan iman
pada tahap tertinggi. Melaluinya jiwa sentiasa tenang dan hati sentiasa dipandu
oleh petunjuk-Nya.
Kedua,
mencintai Rasulullah SAW selepas cintanya kepada Allah SWT kerana cinta kepada
Allah SWT tidak dapat dipisahkan dengan cinta kepada kekasih-Nya, Muhammad bin
Abdullah. Sesungguhnya Baginda utusan Allah SWT yang menyampaikan segala
perkara dikehendaki oleh Allah SWT.
Melalui
Baginda, kita mendapatkan Islam, mengenal Allah SWT dan mengetahui segala
perintah serta larangan-Nya. Kedudukan Baginda tiada taranya, Baginda insan
teragung dan rasul terulung. Sesungguhnya, untuk mendapat cinta Allah SWT maka
seseorang itu perlu mencintai Rasulullah SAW.
Ketiga,
mencintai saudaranya kerana Allah SWT semata-mata. Allah SWT menciptakan
manusia dalam pelbagai warna, bangsa dan adat untuk saling kenal mengenali.
Justeru, kemanisan iman ialah dengan mencintai saudaranya hanya kerana Allah
SWT.
Hubungan
persaudaraan yang wujud bukanlah kerana kemuliaan, harta atau pangkat tetapi
hubungan yang wujud hanya kerana Allah SWT semata-mata. Persaudaraan menjamin
keamanan, kebahagiaan dan kejayaan bagi sesebuah masyarakat bukan sahaja di
dunia tetapi berterusan sehingga ke akhirat.
Keempat,
membenci dan tidak akan kembali kepada kekufuran. Mukmin yang mencapai
kemanisan iman akan menyembah dan mengabdikan dirinya kepada Allah SWT dengan
sebenar-benarnya. Dia tidak akan menyembah Allah SWT apabila beroleh kebaikan
dan apabila ditimpa kesusahan dia kufur.
Antara
cara meningkatkan keimanan ialah memahami serta menghayati zat, perbuatan dan
sifat Allah SWT. Memahami dan menghayati ayat al-Quran sebagai panduan dalam
mencapai kebahagiaan, memperbanyakkan zikir dan mengingati Allah SWT dalam
setiap keadaan, masa serta tempat.
Mengamalkan
sunah Nabi Muhammad SAW serta mencontohi akhlak Baginda. Sentiasa bersama
dengan ilmuwan, ahli ibadah, teman soleh solehah yang sentiasa mengingatkan
kealpaan kita terhadap Allah SWT serta berdoa memohon petunjuk daripada Allah
SWT supaya menetapkan hati kita dalam ketaatan.
Sumber : Khutbah Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
0 comments:
Post a Comment