Memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan berbelanja di destinasi
percutian ibarat satu kemestian. Jumlah wang yang dibawa juga pastinya
akan lebih banyak saat melancong di destinasi ‘syurga membeli-belah’.Selain seronok kerana berpeluang mengunjungi destinasi idaman,
percutian itu akan lebih mengujakan jika wang yang dibawa mencukupi
untuk membeli apa saja yang diinginkan.
Namun, ramai yang menasihati supaya tidak membawa wang yang banyak
ketika bercuti bagi mengelak perkara yang tidak diingini termasuk
kecurian atau kehilangan.
Banyak atau sikit jumlah wang yang dibawa, anda tetap perlu
berhati-hati dan sentiasa memastikan wang serta kad kredit yang dibawa
selamat.
Justeru, tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu untuk memastikan wang tunai atau kad kredit yang dibawa sentiasa selamat sepanjang bercuti.
• Letak di beberapa tempat
Bagi mengurangkan risiko, simpang wang, kad kredit, kad debit atau cek di tempat yang berlainan di dalam beg ataupun dalam poket baju. Ia adalah langkah berjaga-jaga supaya apabila salah satu tempat penyimpanan itu bermasalah kerana dicuri atau sebagainya, anda masih punya wang untuk dibelanjakan sepanjang bercuti.Namun, jangan pula anda lupa di mana wang anda itu disimpan. Jika tidak, percutian anda pasti tidak akan menyeronokkan.
• Buat tempat menyimpan sendiri
Selain menyimpan wang dan kad kredit di dalam beg tangan atau dompet, anda boleh memikirkan cara lain atau benda lain untuk menyimpannya.Salah satu yang dirasakan penulis lebih selamat ialah dengan menggunakan ‘Money Belt’. Ia yang berbentuk seperti tali pinggang dengan ruang penyimpan yang luas memberi keselesaan kepada anda.Selain ‘Money Belt’, anda juga boleh menggunakan poket bertali yang diikat di pinggang atau ‘neck wallet’ yang digantung di leher dan boleh disembunyikan di dalam baju.Meletakkan wang di poket kecil beg juga membantu tetapi jangan sampai anda terlupa pula.
• Tukar wang awal
Jika ke luar negara, tukarlah wang yang akan digunakan untuk berbelanja terlebih dulu dengan mata wang yang digunakan atau di negara yang dituju. Wang dolar umumnya boleh diterima di mana-mana negara. Jadi, anda boleh menukarkannya terus.Dengan menukar wang awal, ia dapat memudahkan anda untuk menyimpan wang yang akan dibawa ketika melancong.
• Kad kredit atau debit
Bagi alat pembayaran seperti kad kredit atau kad debit, sebaiknya anda membawa kad yang mempunyai jalinan antarabangsa dengan bank di destinasi yang dituju supaya mudah untuk digunakan di mana-mana.Sebelum berangkat, pastikan lokasi yang dituju itu memiliki kemudahan teknologi dan jaringan kewangan yang membolehkan anda menggunakan kad yang dibawa. Untuk lebih menjimatkan, bawalah satu daripada beberapa kad yang anda ada selain mengehadkan penggunaannya.
• Kelebihan buat wanita
Ketika berkunjung ke destinasi yang mendapat jolokan sebagai ‘syurga membeli-belah’ seperti Paris, London, Bandung dan banyak lagi, golongan wanita sememangnya sudah memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk melakukan aktiviti yang cukup digemari itu. Oleh itu, khusus untuk wanita, anda boleh membuat poket kecil yang boleh diselitkan di bahagian baju dalam (bra money pocket). Poket ajaib itu boleh dipindahkan ketika anda menggantikan baju dalam.
Penulis : Oleh Suliati Asri
Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tipmelancong_Caraselamatbawawang/Article
0 comments:
Post a Comment