Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan.
Israk dan
Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh
Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya
dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada
baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.
Sungguhpun
peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah
ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita
selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi
serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan
jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan
Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.
Israk
bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di
Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana
firman Allah yang bermaksud :
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam
hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami
berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan
dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’: 1).
Sementara
itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke
Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang
digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril
dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di
sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam
bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu
diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.
Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat
(akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula
melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari
sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan)
Tuhan-Nya.” (Q.S. An-Najm: 13-18).
Oleh itu,
Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada
malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa,
kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan
sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan
menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang
sama.
Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk
dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada
mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari
semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di langit keenam,
Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi
Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon
keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat
50 waktu itu. Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan
itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang
sampai 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat
menjadi hanya 5 kali sehari semalam.
Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan
itu ialah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat
berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah
yang bermaksud :
“Dan dirikanlah sembahyang
itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada
malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa)
perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang
yang ingat.” (Q.S. Hud: 114).
Bulan Rejab tahun ke-11
dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’
(tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan dengan dua musibah
berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang
berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian
disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak
melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.
Musibah yang menimpa itu
berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas Nabi
merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan
keselamatan diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah
untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan
bersedia membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur
berkecai kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan
kepada Nabi, malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.
Lalu, Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan
perasaan hampa tanpa hasil. Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan
kehampaan, Allah menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan
menghibur dan mempertebal iman Nabi SAW.
Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita
memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk
direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah:
1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan
dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat
kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan,
menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia.
Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi
Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu
untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada kita agar
mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai
permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua
perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan
ketakwaan dan amal ibadat.
2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa
Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda
ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh
berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah
mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan
sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut
seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti
seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan
lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini
tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas
dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di
akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.
3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah
yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza
dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana
kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu
Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan
keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga
amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang
untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.
4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah
sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di
jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi
akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi
bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.
5.
Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa
mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada
keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara
sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.
Israk Mikraj merupakan mukjizat
yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru itu, Pelbagai
pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati
supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam
usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk
peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi
masa kini. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan tidaklah Kami mengutus
rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan orang lelaki yang
Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang
berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
0 comments:
Post a Comment