…
Di musim cuti ini, Zaman balik ke kampung. Ada timun yang dipetik dari
dusun ayahnya untuk dijadikan ulam. Dusun ayahnya besar, ada kebun dan
taman bunga. Perlukan beberapa pekerja untuk uruskan dusun seluas ini.
“Pahit timun ini. Pekebun ayah ini tahu tanam ke tak? Ini mesti tanam
timun di tanah yang pernah ditanam peria. Ini dah patut kena pecat!”
kata Zaman.
Ayah Zaman tidak berkata apa-apa dan teruskan makan.
Selepas makan, Zaman melawat keadaan dusun ayah bersama ayahnya. Selama
ini Zaman tak pernah nak masuk kawasan dusun. Kerana timun pahit tadi,
Zaman ada niat nak pergi menegur pekebun bodoh ayahnya.
“Hmm…
ini pekerja bijak. Tak macam pekerja yang tanam timun pahit itu. Buah
mangga ditanam diberi baja ini. Memang manis,” kata Zaman yang menjumpai
pokok mangga yang lebat berbuah.
Ayahnya diam tidak berkata apa-apa.
Tiba pula di kawasan durian ditanam. Zaman mengutip sebiji durian untuk dimakan. Isinya nipis dan pahit.
“Ini siapa yang jaga pokok durian? Ayah kena tukar orang ini. Tak pandai langsung,” kata Zaman.
Ayahnya juga diam tidak berkata apa-apa.
Tibalah zaman di taman bunga dalam dusun ayahnya. Tempat itu cantik
bagaikan kawasan tinggal bidadari. Bunganya mekar berkembang,
landskapnya cukup menarik dan semuanya dijaga rapi.
“Ayah kena ambil lebih ramai pekerja yang jaga taman bunga ini. Pasti satu dusun ayah akan berkembang dengan baik,” kata Zaman.
Ayahnya diam dan senyum saja.
“Tapi ayah, hari ini cuti ke? Tak jumpa pun pekebun-pekebun ayah
sepanjang perjalanan tadi. Ini mesti curi tulang. Orang macam ini kena
buang ayah, tak boleh biar,” kata Zaman lagi.
Ayahnya masih diam.
Selepas itu, Zaman bersama ayahnya tiba di tasik di tengah dusun. Ada
seorang pekerja sedang memancing ikan di tasik – seolah-olah mendapat
ikan yang besar dengan cara menarik jorannya.
“Ayah, kalau itu
pekerja ayah kena pecat. Waktu kerja memancing. Ini memang pemalas.
Kalau pekerja lain ikut cara dia, hangus ayah. Ini dusun kita, kita ada
etika, kena ada disiplin, kena ada adab kerja, kena patut pada tuan,”
kata Zaman.
Akhirnya ayahnya bersara.
“Roy, datang sini sekejap,” ayah memanggil tukang kebunnya Roy datang menghampirinya.
“Tuan dah datang. Tuan, joran tuan masih tersekat sejak semalam, tak
dapat tarik lagi. Rasanya tersangkut akar kayu di bawah. Kena ikhtiar
cara sebab mata kail itu berharga. Sayang kalau potong terus,” kata Roy.
“Tak apa biar dulu. Ini Zaman. Anak saya. Zaman ini Roy,” kata ayahnya.
“Roy, pokok-pokok timun di atas tanah peria itu memang pahit. Enta
betul, tak boleh tanam terus sejurus selepas tanam peria. Betul juga
kata Roy, pokok durian yang ditanam di tanah rata isi kulitnya nipis,
nasib baik Roy susun balik pokok-pokok lain di kawasan lereng. Taman
bunga itu kalau Roy ada masa, cuba buat air terjun buatan di tengah,
rasanya lebih menarik,” pesan ayahnya sebelum beredar.
Mendengar penjelasan ayahnya, Zaman terkedu. Tapi beliau diam.
Rupa-rupanya, Roy seorang tukang dusun yang digaji ayah Zaman sejak 4
tahun yang lalu. Kebun ayahnya kini mendapat hasil yang banyak dan
disanjung tinggi.
Walaupun hanya dikerjakan seorang, tapi keadaan dusun itu dilihat seperti ramai pekerja yang mengendalikannya.
Tapi Zaman tidak tahu menahu dengan perkara tersebut.
“Orang yang Man puji, kutuk, kritik, dan nak pecat tadi hanyalah Roy
seorang. Ayah tak gaji ramai, hanya Roy seorang, sebab dia buat kerja
dengan niat bahawa dusun ini milik dia. Jadi dia jaga dengan baik.
Man, menegur ini mudah. Menghina ini tak susah. Tapi sebelum menegur
dan menghina, tanyalah diri, sebagai anak ayah, apakah Man pernah bantu
usahakan dusun ayah. Masa menegur, Man jangan anggap diri betul dan
lebih tinggi darjat Man daripada orang lain.
Sebab mata Man
hanya ada dua, yang nampak di depan. Tapi Man terlupa ramai lagi mata
memandang kat Man dari keliling yang Man tak nampak. Bahkan tadi, Man
terlupa mata ayah dan Allah sedang memandang karenah Man.
Man
komen seolah-olah Man sahaja yang tahu jaga dusun ini. Sebenarnya ayah
dan Roy juga sama-sama menjaga dusun ini dan sudah berusaha lama
sehingga dusun mendapat hasil. Man masuk dusun kali pertama dah pertikai
kerja-kerja yang dilakukan Roy dan ayah. Man komen atas perasaan
prasangka – dengan mata niat mencari kesalahan selepas termakan timun
pahit. Tak baik itu,” tegur ayahnya.
“Ya ayah. Man sedar sekarang. Tak akan buat lagi,” jawab Zaman.
Ayahnya tersenyum dan bertanya, “Sekarang dah tahu keadaan sebenar,
nampak tak nilai Roy dari segi usaha dan kerajinannya menjaga dusun ayah
seorang diri?”
“Ya. Kerajinan dan kesungguhannya memang luar biasa. Man pun tak dapat tanding kerajinannya,” jawab Zaman.
“Kan bagus pakai cermin mata yang sangka baik, daripada yang sangka buruk?” jawab ayahnya sambil dua-dua tersenyum.
Bila menegur, jangan anggap diri sendiri betul dan seolah-olah
pandangan diri sahaja betul dan lebih tinggi daripada orang lain walhal
kamu menegur dengan 2 mata di depan, tapi beribu mata di keliling kamu
dan Allah sedang memerhatikan kamu.
Tanyalah diri – kamu
menegur untuk menghukum macam Zaman ke, menegur untuk membimbing?
Buatlah teguran mendidik selalu, teguran menghukum meminta seseorang
dipecat macam Zaman cuba elakkan.
Senyum.
0 comments:
Post a Comment